Ahlan wa sahlan...

Kerana hidup hanya persinggahan sepi...penuhilah bekalan jiwamu dengan ketakwaan...

Thursday 18 July 2013

MARI BERPANTUN

Koleksi pantun rekaan sendiri untuk Pesta Pantun

Disiplin

Merekah selumbar pohonan jati
Usai terluka jari jemari
Bisakah digelar insan sejati
Andai tiada disiplin diri

Cengal ditatang cemara nan patah
Rekah berduri diranting dedap
Berakal matang berjiwa mentah
Bernilaikah pekerti tanpanya adab

Membeli suasa penghias cemeti
Cemeti berpukal diasak jeriji
Berbudi bahasa beradab pekerti
Mampukah dikekal akhlak terpuji

Teknologi IT

Usah ditagih janji dimungkiri
Tiada bererti tiada serasi
Teknologi canggih gajet bestari
Dapatkah IT menggerak generasi

Pasangan serasi ingin diraih
Megah bersampin memujuk hati
Teknologi komunikasi semakin canggih
Bisakah terpimpin generasi IT

Sekawan kedidi bersama undan
Melayang hebat di langit semarak
Rangkaian teknologi tiada sempadan
Bagaimana dapat yang keji dielak

Pohon keranji ranting menjalar
Berbuah melata di atas titi
Pengaruh keji mulai menular
Apa formula generasi IT

Pelancongan/Perayaan

Melati dijambangan berpilin lebat
Hiasan si dara berbaju kebaya
Industri pelancongan semakin pesat
Huraikan cara memajukannya

Laksamana ramah bersampin rupawan
Dipandang teman duduk di para
Apakah wadah pemangkin kemajuan
Bidang pelancongan untuk negara

Lazatnya kuini di dalam tempayan
Bersatu di para bersama longan
Bagaimana seni dan kebudayaan
Membantu negara di sektor pelancongan

Memukat kelah sembilang terjerat
Disampan nelayan menjoran sebarau
Masyarakat Sabah berbilang adat
Huraikan perayaan Kadazan dan Bajau

Pinggiran merah menebal di awan
Ufuk di danau menyatu biasan
Jelaskan sejarah asal perayaan
Unduk Ngadau ratu Kadazan

Sayangi sekolah

Pohonan bidara jambangan berduri
Akar berserak berbalam indah
Nyatakan cara mengelak buli
Andai merebak di dalam sekolah

Terbang kenari di angkasa melayang
Hinggap sang merbah dihujung akar
Jelaskan bukti tandanya sayang
Pada sekolah tempat belajar

Riangnya camar terbang meliar
Bayu bertiupan riuh berdendang
Sekolah tercemar murid terbiar
Apa tindakan warga penyayang

Mengkuang dihampar punah tercalar
Dijarah keris menghiasi damak
Internet penyebar fitnah menular
Mengapakah terhakis budi dan akhlak